PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah sekalipun melupakan misi untuk mengesan pesawat MH370 sehingga hari ini biarpun sudah hampir lapan tahun berlalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerajaan kini masih menunggu sebarang petunjuk baharu yang kuat sebelum memulakan semula misi pencarian itu.
Beliau berkata, petunjuk baharu itu penting bagi menentukan lokasi yang lebih spesifik pesawat berkenaan.
“Pertimbangan (petunjuk baharu ini) akan digunakan bagi meneruskan misi mengesan pesawat berkenaan pada masa depan,” katanya menerusi rakaman video sempena memperingati tragedi pesawat MH370 hari ini.
Katanya, pihaknya sentiasa mengkaji apa sahaja bentuk bukti baharu yang didedahkan bagi mengenal pasti lokasi pesawat berkenaan.
Ka Siong berkata, menerusi misi pencariannya sebelum ini, kerajaan tidak pernah mengambil sikap berkira dalam mengeluarkan perbelanjaan wang untuk usaha kolektif antara Malaysia, Australia dan China bagi mencari dan menjejaki pesawat yang hilang itu.
Menurutnya, pada 2018 lalu, jentera khas iaitu Ocean Infinity Autonomous Vehicle (AUV) memulakan pencarian pesawat MH370 di dasar laut di selatan Lautan Hindi.
“Setelah pencarian itu meliputi 112,000 kilometer akhirnya AUV itu mengakhiri pencarian, sehingga menemukan bukti penemuan kawasan baharu kedudukan serpihan atau pesawat itu hilang,” katanya.
Katanya, beliau prihatin dengan nasib menimpa kru dan penumpang pesawat berkenaan termasuk kesedihan dialami waris dan keluarga mereka.
Meskipun sudah lapan tahun berlalu, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 itu masih dalam ingatan masyarakat negara ini.
Sehingga ke hari ini, misteri kehilangan pesawat Boeing B777 itu masih belum terungkai cuma hanya beberapa serpihan ditemukan di Lautan Hindi. – UTUSAN










