SUBANG JAYA: Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM500,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk meneruskan agenda pembangunan belia di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana tersebut bertujuan menggerakkan segala aktiviti dirancang MBM sempena pemilihan jawatan kuasa baharunya yang berakhir semalam.
“Bagi membantu dan menyokong jawatan kuasa MBM yang baharu dipilih untuk menggerakkan aktiviti dan bagi meneruskan agenda pembangunan belia, saya dengan ini mengumumkan sejumlah RM500,000 untuk MBM,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-71 MBM, di sini, malam ini.
Yang hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, aktivis belia serta rakan-rakan strategik MBM.
Terdahulu, persidangan MPAT MBM berlangsung pada 5 dan 6 Mac lalu menyaksikan Mohd. Izzat Abdul Hamid dipilih sebagai Presiden MBM, ke-22, yang sebelum ini disandang oleh Jufitri Joha.
MBM adalah badan induk pergerakan belia Malaysia dengan 41 badan gabungan terdiri daripada pertubuhan belia peringkat kebangsaan dan majlis-majlis belia negeri, bagi membincangkan dasar, hala tuju dan pembangunan generasi belia negara.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keahlian pertubuhan belia yang kira-kira berjumlah kira-kira 1.2 juta orang wajar ditambah menerusi aktiviti-aktiviti diminati golongan itu memandangkan jumlah berkenaan hanya mewakili lapan peratus daripada keseluruhan populasi belia negara.
“Penglibatan mereka dalam aktiviti seumpama ini dapat menggalakkan pembudayaan aktiviti yang lebih sihat seperti penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dalam menghulur bantuan kepada mangsa bencana banjir di Kedah, Lembah Klang, Johor dan Pantai Timur Semenanjung.
“Saya yakin MBM dan badan gabungannya mampu membantu kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi sosial menerusi program-program dan aktiviti pembangunan untuk kesejahteraan belia dan seluruh Keluarga Malaysia bagi tahun ini,” katanya. – UTUSAN