Kemasukan pekerja asing: Kerajaan tunggu keputusan negara sumber - Utusan Malaysia

Kemasukan pekerja asing: Kerajaan tunggu keputusan negara sumber

AWANG Hashim (tengah) melancarkan TVET-TAHFIZ dan disaksikan Pengarah Bahagian Islam Jakim, Hakimah Mohd Yusoff di CIAST Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan dikatakan sudah pun membuka sempadan bagi kemasukan pekerja asing ke negara ini sejak 15 Februari lalu bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan restoran.

Bagaimanapun, hal yang masih belum diselesaikan adalah di pihak negara sumber apabila belum membuat sebarang keputusan termasuk membenarkan rakyat mereka merentasi sempadan untuk kembali bekerja.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, beliau menyedari masalah kekurangan pekerja menjelang peralihan fasa daripada pandemik kepada endemik menjelang April ini, namun kepentingan kesemua pihak dalam isu tersebut harus dilindungi.

“Insya-Allah, seperti mana diumumkan menteri sebelum ini termasuk dalam Parlimen dalam dua hari lepas, (kementerian) akan memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah pekerja asing. Saya tunggu menteri yang akan umumkan.

“Sebab ini adalah salah satu daripada elemen untuk membangunkan ekonomi selepas pandemik Covid-19, ini adalah penting. Saya tunggu menteri yang akan umumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET)-Tahfiz di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), hari ini.

Sebelum ini, pengusaha-pengusaha restoran 24 jam dilaporkan berhadapan kesukaran untuk beroperasi seperti biasa berikutan masalah kekurangan pekerja yang sebelum ini kembali ke negara masing-masing susulan pandemik Covid-19.

Hal demikian dilihat berlarutan dan turut menjejaskan perancangan mereka untuk kembali beroperasi secara 24 jam bermula 1 April ini apabila negara memasuki fasa endemik seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu.

Terdahulu, Awang dalam sidang akhbar tersebut memaklumkan kerajaan akan menetapkan dasar untuk meletakkan pengajaran tahfiz dalam pengurusan formal menerusi TVET-Tahfiz dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Malah, beliau juga berharap dengan kewujudan program berkenaan memberi nilai tambah kepada usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan membenarkan lepasan jurusan berkenaan memenuhi permintaan dalam pasaran pekerjaan.

“Begitu juga dengan kewujudan Tahfiz TVET ini juga diharapkan menyumbang kepada penyelesaian masalah kekurangan tenaga pekerja pada masa akan datang. Ini salah satu daripada matlamat kita.

“Jadi kita mula pada hari ini, kebetulan negara sedang menghadapi satu permintaan kepada pekerja. Untuk jangka masa yang panjang, mungkin salah satu daripada elemen yang menyalurkan pekerja dalam permintaan pasaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN