KOTA BHARU: Solat fardhu jemaah, Jumaat dan sunat tarawih boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal di semua masjid, surau dan musalla di Kelantan selaras dengan fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, turut dibenarkan, majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah khas atau umum serta program Ihya Ramadan.
“Bagaimanapun sepanjang Ramadan ini pihak masjid, surau dan musalla hanya dibenarkan menyediakan menu jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.
“Hanya jemaah yang tidak mempunyai apa-apa gejala Covid-19 sahaja dibenarkan hadir manakala jemaah bergejala tidak dibenarkan hadir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, semua jemaah diwajibkan memakai pelitup muka serta diwajibkan membawa sejadah masing-masing, selain tidak dibenar bersalam antara satu sama lain.
“Kebenaran aktiviti ini mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
“Justeru, Maik mengharapkan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP). Tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal mematuhi ketetapan,” katanya. – UTUSAN










