Keengganan ibu bapa benar anak divaksin cabaran PICKids

Keengganan ibu bapa benar anak divaksin cabaran PICKids

KHAIRY JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Ibu bapa seolah-olah berhadapan dengan ‘mental blok’ sehingga enggan membenarkan anak-anak divaksin biarpun setelah diberikan penerangan mengenai kepentingan vaksinasi akan melindungi anak mereka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, itu cabaran yang kini dihadapi bagi menggalakkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mengambil vaksin kerana tidak mendapat kebenaran ibu bapa.

“Program penerangan kita teruskan tapi, macam ada mental blok yang membuatkan ibu bapa tidak memberi kebenaran untuk anak mereka mengambil vaksin biarpun kita buka pusat pemberian vaksin (PPV) di sekolah.

“Apabila PPV dibuka, pada hari vaksinasi mereka (ibu bapa) tidak benarkan anak-anak datang ke sekolah. Jadi, saya merayu kepada ibu bapa supaya membenarkan anak-anak menerima vaksin.

“Biarpun vaksinasi ini tidak diwajibkan tapi ia sangat disaran dan digalakkan untuk melindungi anak-anak daripada jangkitan. Kita sudah membuktikan selama sebulan lebih bahawa vaksinasi ini selamat.

“Jadi jangan tunggu lagi, sebelum sekolah dibuka semula saya merayu kepada ibu bapa di Sabah dan seluruh Malaysia bawa anak-anak mendapatkan vaksin,” katanya dalam sidang akhbar semasa melawat Hospital Tawau hari ini.

Khairy berkata, ibu bapa tidak perlu lagi mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana sudah sebulan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dan tiada kesan sampingan serius yang dilaporkan.

Jelas beliau, semakin ramai kanak-kanak dijangkiti dan dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 dan ada yang mengalami sindrom keradangan pelbagai sistem dalam kanakkanak (MISC) dan ia membawa kemudaratan pada jangka masa yang panjang.

Mengulas lanjut katanya, kadar vaksinasi di Tawau juga agak rendah iaitu 16 peratus sahaja kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang sudah divaksin.

Katanya, beliau faham Sabah turut berhadapan dengan kekangan kemudahan infrastruktur dan pengangkutan untuk membawa anak-anak ke PPV. Maka, kerjasama erat antara semua agensi perlu bagi meningkatkan jumlah liputan vaksinasi PICKids di negeri ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, rakyat Sabah yang tinggal di kawasan sempadan dinasihatkan untuk segera mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum sempadan negara dibuka.

Memandangkan Sabah bersempadan dengan Indonesia dan Filipina yang merekodkan kadar vaksinasi yang rendah maka, rakyat Sabah berisiko untuk terdedah kepada jangkitan sekiranya ramai rakyat daripada kedua-dua negara itu masuk ke Sabah apabila sempadan dibuka kelak.

Beliau juga mengandaikan kawasan yang bersempadan dengan Sabah dan Sarawak seperti selatan Filipina dan Kalimantan merekodkan kadar vaksinasi yang rendah kerana berada jauh dari ibu kota negara tersebut.

Maka, penting bagi penduduk Sabah untuk mendapatkan dos penggalak untuk melindungi diri daripada mendapat kesan yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.-UTUSAN

 

Ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN