minuman keras

Kastam gagalkan seludup minuman keras cukai RM2.294 juta

ABDULLAH Jaapar (tengah) menunjukkan antara minuman keras yang dirampas pada kontena di Wisma Kastam, Pulau Indah, Pelabuhan Klang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan sindiket penyeludupan minuman keras bernilai RM396,000 membabitkan jumlah duti cukai sebanyak RM2.294 juta di Pelabuhan Klang, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kesemua 155,040 liter minuman keras yang popular di Aceh itu diletakkan dalam enam kontena di Pelabuhan Utara, di sini antara 14 hingga 22 Februari lalu.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai bertindak selaku ejen.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) mendapati kontena-kontena tersebut bermuatan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import 2017) iaitu minuman keras yang disyaki belum lulus kastam .

“Ada di antara barangan tersebut diletakkan di sebalik barang lain bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Operasi Perkastaman/Perkhidmatan Teknik Selangor, Zuraini Othman.

Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti negara pengeksport barang larangan tersebut.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 seperti cubaan mengimport barang tak berkastam di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, mengikut mana lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras dan lain-lain dengan menyalurkan maklumat ke talian bebas tol kastam 1-800-88-8855. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN