KASA sedia kerjasama kuat kuasa Akta Undang-Undang Air Minum Yang Selamat - Utusan Malaysia

KASA sedia kerjasama kuat kuasa Akta Undang-Undang Air Minum Yang Selamat

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) dan Mohd. Fozi Ali (kanan) menandatangani plak perasmian RAS UiTM di Bangunan Annex UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan Akta Undang-Undang Air Minum Yang Selamat di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua kementerian sudah mengadakan perbincangan bagi mengulas berkaitan rang undang-undang yang sedang dirangka itu.

“Sebarang akta mengenai air minuman sememangnya berada di bawah kawalan Kementerian Kesihatan. Namun, jika wujud akta mengenai elemen pelanggaran isu air, kita bersedia mengambil tindakan mengikut undang-undang itu. Kita menyokong dan akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan Akta Undang-Undang Air Minum Yang Selamat itu,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan program Sustain The World Virtual Camp (STWVC) 2022 dan pelancaran Rakan Alam Sekitar (RAS) 2.0 @ Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan UiTM, Prof. Dr. Mohd. Fozi Ali.

Kementerian Kesihatan menerusi Seranta Awam Dalam Talian memaklumkan penggubalan Rang Undang-Undang Air Minum Yang Selamat bertujuan melindungi masyarakat daripada bahaya kesihatan akibat air minum yang tidak mematuhi tahap kualiti ditetapkan.

Selain itu, ia meningkatkan kualiti hidup menerusi pengurusan keselamatan dan kebersihan air minum daripada semua sistem di seluruh negara secara lebih rasional.

Konteks air minum dalam skop rang undang-undang itu adalah air yang boleh diminum mematuhi standard peraturan selepas proses rawatan, pengeluaran atau tahap penggunaan tidak termasuk air yang diselia mengikut Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Justeru, penguatkuasaan Akta Air Minum Yang Selamat merangkumi dari Loji Rawatan Air (LRA) sehingga ke pengguna, tidak termasuk kawasan tadahan air yang berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Sungai Langat dan Sungai Selangor yang menjadi sumber bekalan air kepada 90 peratus penduduk di Selangor dan Lembah Klang berdepan risiko pencemaran apabila terdapat kawasan perindustrian dan perumahan terletak berhampiran sungai.

Tuan Ibrahim berkata, pengurusan air selain air minuman berada di bawah tanggungjawab jabatan bekalan air di seluruh negara.

“Operator air di setiap negeri berfungsi untuk merawat air sebelum disalurkan kepada pengguna. Biarpun air minuman berada di bawah kawalan Kementerian Kesihatan, kita sentiasa sedia bekerjasama dengan kementerian itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menobatkan UiTM sebagai perintis projek RAS Kluster Kampus dalam memastikan pembabitan pelajar dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN