PENDANG: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperincikan kaedah penangguhan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak lama lagi.
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan pihak kementerian selepas kadar gaji minimum diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Kita akan umum prosedurnya selepas pelaksanaan gaji minimum RM1,500 pada 1 Mei nanti, kita akan terangkan kemudian.
“Majikan yang macam mana layak tangguh dalam PMKS, berapa pekerja yang mereka ada untuk layak lakukan penangguhan, itu pun kita akan tentukan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Masuk Pendidikan dan Latihan Teknikal Vakasional (TVET)@KSM di sini, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.
Beliau berkata, pelaksanaan tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.
Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang memberitahu, pelaksanaan kadar gaji minimum itu memberi banyak manfaat kepada golongan B40 yang terkesan akibat Covid-19 sebelum ini.
“Bila gaji tinggi, pekerja selesa dia akan bekerja dengan baik, majikan akan dapat pulangan pelaburan (ROI) yang lebih baik hasil daripada kerja mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sistem latihan TVET menawarkan kursus kepada pelajar secara teori 30 peratus dan amali 70 peratus.
Katanya, pada masa ini, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) merupakan pelaksana latihan dengan menyediakan 32 buah institusi latihan di seluruh negara.
“Aliran TVET adalah signifikan dan mempunyai impak yang besar sebagai ‘game changer’ dan agen perubahan dalam peningkatan daya saing, kualiti tenaga kerja serta pembangunan ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN