Johor rumah kita - Hasni - Utusan Malaysia

Johor rumah kita – Hasni

HASNI Mohammad meluangkan masa bertemu penduduk di Kampung Parit Haji Mohamed di Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan berlengah dalam melaksanakan ikhtiar yang diumumkan demi menjamin kestabilan masa depan semua rakyat Johor setelah diberikan mandat membentuk kerajaan negeri nanti.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, esok merupakan hari yang penting untuk semua rakyat Johor memilih siapa yang paling layak untuk memaju dan melindungi negeri ini.

“Johor adalah rumah kita. Di sinilah tempat kita dilahirkan, melalui segala ranjau kehidupan dan mungkin di sini juga tempat kita disemadikan. Dalam tempoh kurang 24 jam, kita akan tunaikan tanggungjawab menentukan hala tuju rumah kita bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Sesungguhnya, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, masa depan rumah kita akan menjadi cagaran dan taruhan. Parti-parti politik pula telah pun menawarkan pelbagai ikrar dan pelan kepada kita,” katanya di sini semalam.

Seramai 2.597 juta pengundi akan menentukan pilihan mereka pada PRN Johor bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kerajaan baharu dalam memastikan kestabilan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, BN tidak terkecuali menawarkan perkara itu namun Ikhtiar BN Johor bukan setakat ikrar yang sekadar ada atau pelan yang berjela-jela tetapi komitmen bagi menjamin kemakmuran masa depan Johor.

Menurut Hasni, mungkin terlalu banyak pilihan yang rakyat ada atau mungkin juga ada yang masih keliru, namun mereka perlu yakin dan percaya untuk memilih hanya yang terbaik untuk Johor Darul Ta’zim.

Tambahnya, pilihan berada di tangan rakyat Johor sendiri dan wajar memilih mereka yang benar-benar mahu dan terbukti berupaya memberikan yang terbaik untuk masa depan Johor.

“Kita wajar memilih sebuah kerajaan yang berupaya mengurus ekonomi dan membina potensi rakyat Johor.

“Kita wajar memilih naratif politik baharu lagi matang. Politik amal dan politik bakti. Bukan politik yang disruptive, jauh sekali ahli-ahli politik yang cauvinis.

“Kita wajar memilih masa depan yang stabil, sejahtera dan lebih terjamin buat semua. Bukan masa depan yang tidak berpijak di bumi nyata, malah berada di luar kemampuan yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya