KOTA TINGGI: Rakyat Johor diharap tidak mengambil sikap terkecuali dalam proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, PRN Johor kali ini sangat penting untuk rakyat memilih kerajaan yang stabil dan mampu membawa masa depan Johor ke arah lebih baik.
“Saya harap jangan ada pengundi yang ambil ringan, ambil mudah kerana ada yang berpendapat pilihan raya negeri tidak penting dan mahu tunggu pilihan raya umum. Rakyat Johor jangan ambil sikap terkecuali, jangan ambil sikap tak apalah.
“PRN ini sangat penting untuk pilih kerajaan yang stabil yang ada perancangan besar hendak dilaksanakan pada masa depan, yang lebih terjamin untuk rakyat Johor. Bagi mana-mana kerusi yang kita mungkin rasa tidak gembira dengan perkhidmatan diberikan wakil rakyat, hari ini kita telah diberikan pilihan jadi pilih yang terbaik.
“Paling penting pilihlah yang dapat wujudkan kerajaan negeri yang mantap dan kuat serta boleh berfungsi selain dapat tadbir rakyat dengan baik dari segi soal kesejahteraan negeri dan rakyatnya,” katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya, hari ini.
Halimah berkata, beliau mendapati prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan telah dilaksanakan dengan baik bagi menjaga keselamatan pengundi bermula dari awal hingga selesai pembuangan undi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut mengulangi keyakinan kerusi Johor Lama dan Sedili akan mampu dipulangkan kembali kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.
“Saya jalan hari-hari di kedua-dua DUN, terima kasih kepada semua jentera parti yang kerja kuat untuk tingkat keyakinan kepada pengundi. Kita faham kedudukan dua kerusi ini dulu kita menang wakil rakyatnya berubah tempat dan sebagainya.
“Kali ini pulangkan kembali kepada rakyat, maka rakyat seharusnya guna ruang yang ada untuk menyatakan sokongan kepada calon-calon yang mereka yakin berikan khidmat terbaik,” katanya. – UTUSAN