Jalan Kuala Krai-Gua Musang kawasan `lalu-lalang’ gajah - Utusan Malaysia

Jalan Kuala Krai-Gua Musang kawasan `lalu-lalang’ gajah

TANGKAP layar klip video memaparkan aliran trafik terganggu dengan kehadiran gajah liar yang mahu melintas jalan berhampiran Kampung Paloh, Jalan Kuala Krai - Gua Musang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Orang ramai yang melalui Jalan Kuala Krai – Gua Musang, dekat sini diminta berhati-hati kerana laluan tersebut kini kerap menjadi kawasan ‘lalu-lalang’ gajah.

Malam tadi, seorang pengguna jalan raya berhampiran Kampung Paloh di sini terkejut apabila terserempak dengan gajah liar melintas jalan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad. Hafid Rohani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan haiwan itu keluar dari habitatnya kerana kekurangan makanan. 

Menurut beliau, selepas menerima laporan  mengenai kejadian tersebut, Perhilitan Kelantan segera ke lokasi untuk memantau perkembangan itu selain memberi amaran kepada pengguna jalan raya supaya berwaspada. 

“Sebelum ini, kita tidak pernah menerima laporan mengenai kehadiran gajah di jalan utama di kawasan terbabit. 

“Namun sejak akhir-akhir ini, pihak Perhilitan Kelantan semakin kerap menerima laporan orang awam mengenai kehadiran gajah yang lalu lalang di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mohamad Hafid berkata, selain perlu lebih berhati-hati ketika melalui jalan tersebut, orang ramai juga dinasihatkan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terserempak gajah liar supaya tindakan susulan dapat segera dilakukan.

Terdahulu tular di media sosial klip video berdurasi 19 saat memaparkan aliran trafik terganggu seketika dengan kehadiran gajah liar yang mahu melintas jalan berhampiran Kampung Paloh, Jalan Kuala Krai – Gua Musang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN