Jaheaik intai 50 lokasi lepak kaki ponteng puasa

Jaheaik intai 50 lokasi lepak kaki ponteng puasa

HASNAN Ramli (dua dari kiri) bersama pegawai Jaheaik menunjukkan kain rentang peringatan mengenai kesalahan tidak menghormati Ramadan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019, di Kota Bharu, Kelantan. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Terdapat sekurang-kurangnya 50 lokasi panas di daerah ini yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan individu yang mahu ponteng puasa sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Dr. Hasnan Ramli berkata, sepanjang Ramadan nanti, seramai 60 penguat kuasa akan bertugas memantau lokasi terbabit.

“Kebanyakan lokasi yang menjadi tumpuan adalah kedai-kedai makan sama ada milik orang Islam atau bukan Islam serta kawasan tersembunyi termasuk tangga bangunan dan pasar raya, kilang papan dan lain-lain.

“Di pusat bandar Kota Bharu sahaja terdapat kira-kira 20 hotspot yang kita sudah kenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan vest kepada 60 pegawai dan anggota penguat kuasa Jaheaik di Kompleks Islam Darulnaim, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain

Mengulas lanjut Hasnan berkata, bagi membantu memerangi golongan ponteng puasa itu, seramai 700 ahli skuad pencegah maksiat digelar Skuad Amru turut terbabit dalam penugasan itu.

Katanya, individu yang terlibat dalam kesalahan ponteng puasa atau bersubahat dengan mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 10 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 iaitu tidak menghormati Ramadan.

“Di bawah peruntukan baharu enakmen yang sudah berkuatkuasa, mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM2,000, berbanding RM1,000 mengikut peruntukan lama enakmen sebelum ini.

“Kita berharap semua pihak memberi kerjasama termasuk menyalurkan maklumat berkenaan individu tidak berpuasa atau makan di restoran atau tempat awam kepada pihak penguat kuasa,” katanya.

Hasnan berkata, sepanjang Ramadan tahun lalu hanya tiga kes individu ditangkap kerana makan di tempat awam dan kesemua pesalah telah dikenakan denda RM1,000 seorang.

“Ketika Ramadan tahun lalu, kes tidak banyak kerana Perintah kawalan pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan menyebabkan orang ramai berada di rumah. Kita harap tahun ini kes juga tidak banyak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN