PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan mencadangkan supaya akaun Tabung Haji (TH) milik suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah kepada anak-anak, dibekukan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, sehubungan itu, beliau sedang mengatur pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berhubung cadangan tersebut.
“Pertemuan ini adalah untuk melihat cadangan seterusnya bagaimana akaun TH bekas suami dan bapa yang ada hutang nafkah kepada isteri dan anak-anak boleh dibekukan untuk diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita nak pastikan supaya suami dan bapa ini apabila pergi menunaikan ibadah haji, selesaikan dahulu hutang. Tak boleh pergi haji kalau kita masih berhutang apatah lagi (hutang) dengan orang yang hampir dengan kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, langkah tersebut adalah membantu bekas suami yang zalim menunaikan hutang nafkah terlebih dahulu kepada anak-anak dan isteri.
“Bukan sahaja bantu anak-anak dan isteri yang tak dapat nafkah, tetapi nak bantu kezaliman suami ini terhenti, berdosa tidak bayar nafkah. Prasyarat seseorang menunaikan haji ialah kemampuan, tidak ada hutang.
“Tetapi bagaimana kita pergi haji laksanakan Rukun Islam sedangkan prasyarat ialah mampu dan suci serta bersih daripada segala hutang. Apatah lagi hutang melibatkan orang terdekat iaitu isteri dan anak. Justeru kita bantu suami untuk selesaikan tanggungjawab hutang terlebih dahulu. Jadi apabila dia ke Mekah, dia dalam keadaan suci sudah laksanakan hutang,” katanya.
Mohd. Na’im berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada masa depan untuk menyiasat saham yang dimiliki suami atau bekas suami yang culas.
“Kita tengok satu persatu. Asas dia nak bantu bukan sahaja isteri dan anak untuk dapatkan nafkah tetapi nak selamatkan suami di dunia dan di akhirat bila bertemu Allah SWT, akan ditanya berkaitan hutang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan perintah tahanan hiwalah juga sudah sedia dilaksanakan JKSM dan Mahkamah Syariah sebelum ini melibatkan akaun simpanan bekas suami atau bapa yang berhutang pembayaran nafkah sebelum diserahkan kepada bekas isteri dan anak-anak.
Katanya, sejak tahun lalu, perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa pada Februari 2021.
Tambah beliau, sejak 2017 hingga tahun lalu, terdapat 5,116 kes penguatkuasaan perintah termasuk penahanan pendapatan, pembekuan transaksi harta, permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah, hiwalah, permohonan menghina mahkamah dan penyitaan dan penjualan telah difailkan. – UTUSAN










