PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) ke atas kenderaan milik orang kurang upaya (OKU) dibuka untuk permohonan mulai esok.
MOT menerusi kenyataan memaklumkan, pengecualian hanya diberikan kepada kenderaan motor diubah suai dan tidak diubah suai bagi Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan Kereta Nasional.
Menurutnya, kenderaan motor itu juga hendaklah didaftar dan dilesenkan atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan atau dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU. Ia juga dipanjangkan kepada pasangan suami/isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM,” katanya.
Katanya, mana-mana pemilik kenderaan yang terbabit yang melesenkan kenderaan mulai 1 Januari lalu, pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyerahkan semula LKM dan berhak dibayar rebet dengan apa-apa amaun ditetapkan.
Insentif pengecualian LKM itu selaras pengumuman kerajaan melalui Bajet 2022 yang lalu. – UTUSAN