Industri pelancongan rugi RM200 juta jika sempadan tidak dibuka

Industri pelancongan rugi RM200 juta jika sempadan tidak dibuka

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung isu pembukaan sempadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri pelancongan di negara ini terpaksa menanggung kerugian lebih RM200 juta jika sempadan negara tidak dibuka April ini.

Ini berikutan, banyak sektor terutama ejen pelancongan, pengusaha chalet, hotel terpaksa menanggung pelbagai kos termasuk membayar gaji pekerja dan penyelenggaraan bangunan.

Bahkan, faktor pelancong domestik sahaja tidak mencukupi untuk menampung pendapatan industri berikutan ramai yang membatalkan tempahan berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 carian Omicron.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia (MTC), Prof. Datuk Azlie Halim berkata, pihaknya sudah lama bersedia menerima kunjungan pelancong asing dan akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) diutamakan.

Menurut beliau, industri pada awalnya menjangkakan sempadan negara akan dibuka pada Januari tahun ini, tetapi semuanya terbatal berikutan jangkitan varian Omicron.

“Setakat ini, statistik prestasi dan kerugian untuk suku tahun pertama belum dikeluarkan lagi oleh pihak berkenaan. Namun, dijangkakan boleh mencecah RM100 juta hingga RM 200 juta kerugian menandakan industri pelancongan sangat terkesan dan memerlukan pembukaan sempadan.

“Sekiranya pembukaan sempadan masih ditangguh lagi, kita akan terus menanggung kerugian dan pengusaha-pengusaha pelancongan terpaksa menutup operasi dan beralih ke bidang lain. Lebih memburukkan apabila kita kehilangan pasaran pelancong asing.

“Apabila mereka memilih destinasi pelancongan di negara lain yang lebih mesra pelancong dengan pelbagai kemudahan untuk membolehkan pelancong masuk ke negara terbabit,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membayangkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya pada awal suku kedua tahun ini selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, pembukaan sempadan semula akan membuatkan negara kehadapan dan tidak lagi ketinggalan.

“Britain, Eropah dan beberapa lagi negara ASEAN sudah membuka sempadan mereka serta menga-alu pelancong-pelancong antarabangsa. Jadi kita perlu mengikut langkah mereka memandangkan kadar vaksinasi kita berada di tahap yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, pembukaan sempadan akan memulihkan aktiviti pelancongan antarabangsa dan menyumbang kepada ketumbuhan ekonomi negara selepas jatuh akibat terkesan dengan pandemik untuk tempoh masa yang lama.

“Sektor industri amat penting buat negara kerana boleh menjadi batu loncatan untuk pembangunan ekonomi semula. Apabila keputusan dan tarikh sudah ditetapkan, saya percaya tempahan antarabangsa akan meningkat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya