Industri pelancongan Malaysia sedia sambut kehadiran tetamu

Industri pelancongan Malaysia sedia sambut kehadiran tetamu

pelancongan
NANCY Shukri menyampaikan replika cek berupa bantuan kewangan Program Pengalaman Homestay Malaysia kepada pengiat inap desa pada majlis Motac Bersama Penggiat Industri dan Program Bicara Ilmu @ Johor Bahru di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemain industri pelancongan Malaysia sudah bersedia dan hanya menunggu pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibuat dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya bersedia sepenuhnya menyambut kehadiran pelancong dari luar negara sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka.

“Kita di pihak kementerian dan pemain industri sudah bersedia sepenuhnya. Hanya menunggu detik pembukaan sempadan yang akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat. Kita berharap pengumuman yang dibuat itu melibatkan semua pintu sempadan di seluruh negara termasuk pintu sempadan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Motac Bersama Penggiat Industri dan Program Bicara Ilmu di sini, hari ini. 

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kabinet sudah mencapai persetujuan berhubung perkara itu. Cuma menunggu untuk diumumkan Perdana Menteri sahaja. 

Ismail Sabri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara, minggu depan. 

“Jika tiada aral melintang, Perdana Menteri akan umum tarikh itu minggu depan. Bukan minggu depan sempadan buka. Tetapi pengumuman itu dibuat minggu depan. Pengumuman itu penting kerana ia beri masa sedikit kepada syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia, industri perhotelan dan semua terlibat dalam sektor pelancongan serta pengembaraan untuk buat persediaan,” kata Khairy.

Sementara itu pada program tersebut, Nancy menyampaikan bantuan khas kewangan 2022 kepada 30 buah syarikat serta 10 pengusaha inap desa.

Nancy berkata, bantuan yang diberikan itu bagi menggalakkan sektor pelancongan domestik untuk terus berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN