Ibu restu Hawari berkelana tawan Everest

Ibu restu Hawari berkelana tawan Everest

AHMAD Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan) menyampaikan cek replika sebanyak RM10,000 kepada Muhammad Hawari Hashim (dua dari kanan) pada Majlis Bacaan Doa Selamat Misi Everest 2022 di Surau Permatang Kerai Besar, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Ibu kepada pen­daki yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pende­ngaran dan pertuturan merestui pemergian anak lelakinya dalam melaksanakan misi pendakian ke Everest pada April depan.

Che Som Hassan, 60, berkata, dia pada mulanya agak keberatan untuk melepaskan Muhammad Hawari Hashim, 32, mengikuti misi tersebut memandangkan keadaannya yang serba kekurangan dan khuatir jika misi itu tidak dapat disempurnakannya.

“Setelah ketua misi (pendakian) Azim Afif Ishak datang rumah di Permatang Kerai Besar kira-kira tiga tahun lepas, dia cuba memujuk dan meyakinkan saya bahawa (Muhammad) Hawari mampu melaksanakan misi tersebut bersama pasukan lain, barulah saya izinkan.

“Walaupun saya agak risau, saya tetap merestui perjalanannya kerana Hawari minat akti­viti lasak sejak dulu lagi. Malah, saya mendoakan Hawari dan pasukannya selamat pergi dan pulang, mudah-mudahan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Bacaan Doa Selamat Misi E­verest 2022 di Surau Permatang Kerai, di sini semalam.

Sementara itu, Muhammad Hawari berkata, setakat ini dia dan ahli pasukan lain sedang menjalani latihan secara intensif bagi mempersiapkan fizikal dan mental sebelum melaksanakan misi mendaki gunung tertinggi dunia, Everest berke­tinggian 8.848 meter dari aras laut pada Mei depan.

“(Dari segi) Latihan kami dah buat 200 peratus dari segi fizikal dan mental termasuk melibatkan latihan secara intensif di pergunungan dekat Kota Kinabalu, Sabah. Malah, pada setiap minggu kami adakan latihan mendaki tangga di Batu Caves, Selangor dari jam 9 malam sehingga awal keesokan harinya.

“Saya dan pasukan akan bertolak ke Annapurna Base Camp (ABC) pada 15 April depan dan akan ber­puasa seterusnya sambut Hari Raya di sana yang mana saya sudah siapkan mental fizikal sepenuhnya selain menyediakan makanan tambahan seperti vitamin untuk jaga kesihatan diri,” kata anak ketiga dari lima beradik itu.

Beliau turut berharap pendakian tersebut dapat disempurnakan dengan jaya seterusnya menjadi golongan OKU pertama negara menawan puncak tertinggi dunia dalam misi pendakian ke Everest.

Terdahulu, majlis bacaan doa selamat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Pada majlis itu, Ahmad Zakiyuddin turut menyerahkan cek replika sebanyak RM10,000 yang disumbangkan secara bersama oleh tiga badan agensi negeri iaitu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) tidak termasuk RM2,000 sumbangan peribadinya kepada Muhammad Hawari.

Muhammad Hawari bersama sembilan ahli pasukan Malaysia Everest dijangka mengambil masa kira-kira 63 hari bagi melaksanakan misi Everest 2022 tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN