KUANTAN: Seorang ibu sebak mengenang nasib anaknya yang terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak berikutan penyakit tulang rapuh dihidapinya sejak berusia sembilan tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu terbabit, Wan Jamiah Wan Mazlan, 50, berkata, dia berharap dapat melihat anak keenam daripada tujuh beradik itu, Muhammad Azamuddin Yamim, 13, kembali berjalan dan berlari seperti anak-anaknya yang lain.
Menurutnya, dia hanya mengetahui anaknya menghidap tulang rapuh setelah jatuh dari basikal empat tahun lalu.
“Sebaik sahaja adik (Muhammad Azamuddin) jatuh dari basikal, kami membawanya berjumpa doktor. Doktor memberitahu tulang kaki kirinya patah dan bertanya jika ia pernah patah sebelum ini.
“Saya terkejut apabila ditanya soalan begitu kerana itu pertama kali kakinya patah. Selepas itu barulah saya tahu yang anak saya menghidap penyakit tulang rapuh,” katanya di sini semalam.
Wan Jamiah berkata, selepas kejadian itu, Muhammad Azamuddin masih lagi boleh berjalan dan doktor memaklumkan, walaupun tulang anaknya mudah patah tapi ia juga cepat sembuh.
“Pada tahun lalu, adik jatuh dua kali iaitu kali pertama Februari dan kali kedua sekitar Ogos sehingga menyebabkan adik trauma dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
“Selama dua kali jatuh itu, setahun adik tidak dapat bersekolah ditambah pula keadaan pandemik Covid-19 ketika itu,” katanya yang sebak apabila sering ditanya Muhammad Azamuddin bila dia boleh berjalan dan berlari semula.
Menetap di Kuarters Perguruan Balok Makmur di sini, Wan Jamiah berkata, dia kini dalam usaha mengumpul wang perbelanjaan sekitar RM30,000 untuk pembedahan anaknya yang dijangka dilakukan pada Mei depan.
Jelasnya, jumlah itu merupakan anggaran awal yang diberikan oleh pihak hospital untuk pembedahan memasukkan besi di kedua-dua belah kaki anaknya.
“Masalah tulang rapuh adik dari pinggang ke bawah dan doktor memberitahu perlu dimasukkan besi sebagai sokongan sekiranya tulang itu patah dan bagi membolehkan adik berjalan semula.
“Selain itu, adik bergantung kepada ubat-ubatan selain susu untuk menguatkan sel-sel tulangnya yang menelan belanja sekitar RM200 setiap bulan,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai pembantu operasi di sebuah sekolah di daerah ini berkata, sebagai kakitangan kerajaan, dia sudah memohon bantuan melalui kemudahan perubatan untuk kakitangan kerajaan namun ia memakan masa kerana perlu melalui beberapa prosedur.
“Jika dapat kumpul RM30,000 itu segera, dapatlah pembedahan dilakukan cepat namun jumlah sebenar masih belum diketahui memandangkan prosedur pembedahan itu banyak dan jumlahnya mungkin meningkat bergantung kepada keadaan,” katanya. – UTUSAN










