ARAU: Ramai ibu bapa menzahirkan kebimbangan ancaman penularan Covid-19 yang semakin serius menjelang sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2022/2023 bermula 21 Mac depan.
Justeru, ada yang mencadangkan agar sistem penggiliran pelajar ke sekolah dapat dikekalkan seperti sebelum ini bagi membolehkan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan selain mengelak penularan wabak Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, jika diumumkan negara beralih kepada endemik bererti sesi persekolahan akan berlangsung seperti biasa selepas kaedah penggiliran dilaksanakan akibat penularan Covid-19 sebelum ini.
Namun katanya, ibu bapa sangat bimbang dengan perkembangan gelombang varian Omicron yang terus merekodkan peningkatan kes sekali gus boleh menjangkiti anak-anak mereka di sekolah apabila semua pelajar hadir.
Ujarnya, jika semua pelajar hadir ke sekolah, kebolehjangkitan itu akan lebih serius yang boleh menyebabkan kelas atau sekolah ditutup semula.
“Apabila terjadi perkara itu secara tidak langsung merugikan banyak pihak khususnya para pelajar.
“Adalah diharapkan agar sesi persekolahan kekal kepada sistem penggiliran di semua sekolah bagi membolehkan SOP dapat terus dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan peningkatan kes Covid-19 melebihi 20,000 kes sehari, manakala kes di Perlis juga menunjukkan peningkatan dengan ratusan kes direkodkan sehari sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Tambah Roziena, sistem penggiliran adalah kehadiran di sekolah mengikut jadual sekali gus mengurangkan jumlah pelajar yang ramai dalam satu satu masa.
“Pengurangan jumlah kehadiran pelajar membolehkan kedudukan di dalam kelas dapat dijarakkan antara satu sama lain dan memudahkan kawalan pelajar.
“Ia sekali gus mampu membantu mengurangkan risiko jangkitan khususnya dalam kalangan pelajar ketika kes Covid-19 semakin banyak kebelakangan ini,” katanya. – UTUSAN