KEMAMAN: Mana-mana pihak yang dikesan menggunakan logo halal palsu pada barangan masing-masing akan berdepan hukuman berat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak sesekali berkompromi dalam isu yang mencemarkan kedaulatan agama Islam.
“Kerajaan memandang serius isu pemalsuan sijil halal dan penjualan gegelang sotong yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi.
“Perbuatan mereka sangat biadab kepada umat Islam dan wajar dikenakan hukuman berat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 200 mangsa banjir di Kampung Seberang Tayur di sini hari ini.
Menurut Idris, status logo halal pada gegelang sotong itu masih dalam siasatan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak RM1.7 juta disumbangkan kepada 8,000 keluarga yang terjejas banjir di seluruh negeri, baru-baru ini.
Katanya, menerusi Tabung Musa’adah Banjir Jakim itu, setiap ketua isi rumah (KIR) akan menerima wang tunai sebanyak RM300 di samping barangan keperluan asas. – UTUSAN









