Hubungan Malaysia-Qatar diperkukuh

Hubungan Malaysia-Qatar diperkukuh

-FB ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Hubungan Malaysia dan Qatar terus diperkukuh menerusi pelbagai kerjasama yang membabitkan soal pelaburan, pendidikan dan vaksinasi yang tercetus daripada hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu selama tiga hari bermula 27 Mac lalu.

Menurut Ismail Sabri, dalam lawatan itu beliau mengadakan pertemuan bersama Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani selepas diberikan sambutan rasmi di Amiri Diwan.

Beliau berkata, menerusi pertemuan bersama Sheikh Tamim, Malaysia mengetengahkan beberapa cadangan dalam penerokaan peluang-peluang pelaburan di Qatar kepada syarikat-syarikat Malaysia dan antaranya, North Field Expansion Project yang meliputi tiga fasa.

“Saya juga mencadangkan Petronas diberi peluang untuk terbabit dalam projek ini. Alhamdulillah, cadangan saya disambut baik oleh Amir Qatar,” katanya dalam sidang media bersempena lawatan ke Qatar.

Malah dalam pertemuan itu, Ismail Sabri memberitahu kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan tentang isu berkaitan hubungan dua hala Malaysia dan Qatar yang terjalin selama 48 tahun sejak 1974.

“Dalam usaha memperkukuh lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua negara, kami bersetuju untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tertinggi di antara Malaysia dan Qatar. Di kesempatan ini, saya telah mengundang Sheikh Tamim untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.

“Semoga hubungan dua hala kedua-dua negara bertambah kukuh dan memberikan pelbagai manfaat kepada Keluarga Malaysia dan rakyat Qatar,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Kerajaan Qatar bersetuju meneroka peluang pelaburan khususnya menyediakan rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia dan sasaran diberikan adalah 500,000 unit rumah.

Katanya, selain itu cadangan menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan Qatar Airways dan Qatar mengimport lebih banyak minyak sawit daripada negara ini sebagai alternatif kepada minyak bunga matahari.

“Kerajaan Qatar menyatakan kesudiannya membenarkan pembukaan cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha. Saya percaya dengan pembukaan sempadan kedua-dua negara, Malaysia dan Qatar mengambil peluang mengukuhkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang khususnya industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dua-dua negara turut bersetuju mengintegrasi aplikasi EhTeraz (Qatar) dan MySejahtera (Malaysia) dan  untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing secara rasmi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Qatar kerana memberikan vaksin secara percuma kepada lebih 4,500 rakyat Malaysia bermastautin di Qatar manakala Malaysia juga turut memberi kemudahan vaksinasi secara percuma kepada rakyat Qatar di negara ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya