PETALING JAYA: Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand mampu menaik taraf kehidupan penduduk di kawasan-kawasan di utara Semenanjung yang terlibat dengan projek rel tersebut.
Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, projek tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan di antara dua buah negara malah membantu memulihkan pertumbuhan ekonomi masyarakat khususnya penduduk kampung dan pedalaman.
Menurut beliau, projek HSR Kuala Lumpur-Bangkok akan membuatkan beberapa sektor seperti pelancongan, hartanah serta pembinaan dimajukan dengan kadar lebih pantas jika projek tersebut berjaya direalisasikan.
“Bagi projek HSR Kuala Lumpur ke Singapura pula, kerajaan perlu berunding dengan pihak di sana supaya kita tidak terus mengalami kerugian dengan membayar pampasan sepanjang masa kepada mereka.
“Kerajaan perlu mengambil perunding yang profesional dan tidak ada kepentingan dalam projek tersebut serta kalau boleh tiada ahli politik atau kroninya terlibat secara langsung dan tidak langsung. Ini adalah duit rakyat, ia mesti digunakan untuk kesejahteraan serta kesenangan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Malaysia dan Thailand akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mendapatkan data terperinci berkaitan pelaksanaan projek HSR tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan projek tersebut telah dipersetujui oleh rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan-O-Cha ketika mereka berjumpa sebelum ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin menggesa kerajaan untuk melakukan pelaburan berskla besar di luar Semenanjung iaitu di Sabah dan Sarawak yang sudah ketinggalan terlalu jauh.
“Kedua-dua buah negeri di luar Semenanjung tersebut sudah ketinggalan sejak sekian lama walaupun hasil buminya digunakan oleh negara secara keseluruhannya tetapi apabila timbal balik kepada rakyat di sana amat sedikit.
“Itu menyebabkan peratusan kemiskinan di sana tinggi sedangkan di sana terdapat banyak sumber seperti minyak dan sebagainya. Ini perlu diseimbangkan supaya mereka tidak rasa dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat,” jelasnya. – UTUSAN










