JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong terus mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyahut cabarannya untuk berdebat mengenai pembangunan pendidikan sekolah Cina di negara ini.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook rasmi miliknya memberitahu, pentas untuk berdebat antara kedua-dua mereka sudah disiapkan.
“Guan Eng, Jom debat esok, jangan lari tahu. Pentas debat telah disediakan dan segala persiapan untuk debat telah disempurnakan. Jangan tak hadir esok, saya tunggu,” katanya.
Tambah beliau, pemimpin DAP itu boleh membawa pembantu dalam debat berkenaan sekiranya beliau mahu.
“Guan Eng boleh bawa sekali Teo Nie Ching sebagai pembantu dalam debat ini. Satu lawan dua pun tak apa, asalkan Guan Eng berani hadir. Wait for Guan Eng, 2 pm (petang) at Persekutuan Tionghua Johor Bahru,” tulisnya.
Semalam, Ka Siong memberitahu, pihaknya telah menyewa dewan di Bangunan Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru untuk debat berkenaan pada kadar RM4,500.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan itu bagaimanapun belum membuat sebarang jawapan balas. – UTUSAN










