Gilap bakat ahli akademik jadi ikon - PM - Utusan Malaysia

Gilap bakat ahli akademik jadi ikon – PM

ISMAIL Sabri Yaakob bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-14 di Hotel Sama-Sama, KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Golongan pensyarah bukan sahaja mampu mengajar malah harus menjadi ahli sarjana umum yang dapat berkhidmat kepada setiap anggota dalam masyarakat di negara ini.

Harapan besar itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil berharap kelompok itu akan menjadi ejen perubahan demi kesejahteraan komuniti seluruhnya.

“Seorang pengajar pendidikan tinggi bukan sekadar mendidik tetapi perlu menjadi seorang ahli sarjana awam yang akan berbakti kepada semua lapisan Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-14 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi di sini.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Tokoh Akademik Negara, Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff.

Ismail Sabri menambah, kerajaan sentiasa mendukung usaha ke arah menggilap bakat ahli akademik negara ini menerusi pelbagai aktiviti jangka masa panjang.

“Inisiatif usaha berterusan pembangunan kesarjanaan holistik ini termasuklah pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan pendidikan, penulisan ilmiah dan media massa. Bakat dan kesarjanaan itu pula perlu mencakupi kepelbagaian bidang ilmu sebagai persediaan negara dalam menghadapi senario masa hadapan yang semakin agak mencabar.

“Ahli akademik perlu melengkapkan diri dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 yang mencakupi skop kecerdasan buatan, pendigitalan, analitis data raya dan internet benda. Justeru kerajaan akan memastikan usaha bersepadu dilakukan bagi menggalakkan peralihan kepada sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Menurutnya, langkah proaktif itu termasuk mempelbagaikan latihan pendidikan yang menawarkan program merentas disiplin dan menyusun semula kurikulum sedia ada dengan pendekatan inovatif.

“Ini membolehkan IPT menawarkan banyak program dinamik boleh dikemas kini dan disesuaikan permintaan sektor industri pekerjaan dan budaya keusahawanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN