Generasi beralih ke fasih digital

Generasi beralih ke fasih digital

DR. Mazliham Mohd. Su’ud (tengah) dan pengurusan MMU bersama-sama para pengetua dan Yang Dipertua sekolah-sekolah bergambar selepas majlis perasmian program sekolah angkat MMU di Cyberjaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 13 buah sekolah terpilih sebagai sekolah angkat Universiti Multimedia (MMU) di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia bagi menjayakan hasrat negara mewujudkan generasi muda yang fasih digital. 

Program tersebut akan meningkatkan tahap penguasaan kemahiran para pelajar melalui Transformasi Pendidikan Digital, Kebitaraan STEM dan Inovasi serta Pendedahan Kerjaya Berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Maznah Abu Bakar berkata, program ini mempersiap para pelajar untuk menjadi generasi yang kompeten dan fasih dalam pengetahuan serta kemahiran digital.

 “Sekolah-sekolah ini bertuah kerana berpeluang mendapat mentor cemerlang dalam pendidikan digital iaitu MMU yang telah terbukti berjaya menghasilkan graduan yang menepati kehendak era digital dan pasaran kerja masakini,” katanya pada majlis perasmian program Sekolah Angkat MMU di kampus MMU Cyberjaya, dekat sini baru-baru ini. 

Majlis itu turut dihadiri Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud.

Sementara itu, Prof. Mazliham memberitahu, MMU akan memberi sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah bagi membantu pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur yang berkaitan dengan teknologi digital di bawah program berkenaan. 

“MMU akan berkongsi dan memindahkan ilmu pengetahuan, kemahiran, dan pengalaman kepada sekolah-sekolah angkat ini secara sistematik dan berkala,” jelasnya.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, Selangor; SMK Seri Kembangan, Selangor; SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor; SMK Seri Saujana, Kuala Lumpur; SMK Bukit Jalil, Kuala Lumpur; SMK Seri Permaisuri, Kuala Lumpur; SMK Agama Slim River, Perak; SMK Seri Perak, Perak; SMK Changlun, Kedah; SMK Seberang Jaya Pulau Pinang; SMK Dang Anum, Melaka; Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah, Melaka; dan SM Sains Muar, Johor.

Pengetua SMK Seri Permaisuri Kuala Lumpur, Rozita Puteh pula berkata, penglibatan sekolahnya dalam program ini adalah kesinambungan daripada program-program bersama MMU sejak 2019.

“Sumbangan MMU sangat besar dalam usaha melahirkan generasi fasih digital dari bangku sekolah lagi. Sekolah kami telah berjaya memenangi tempat pertama Project Based-Learning 2019 serta mewujudkan kandungan e-Evidence sekolah selain mempunyai Kelab Multimedia,” jelasnya.

Dalam pada itu, guru bimbingan kaunseling SMK Seberang Jaya, Khairul Nidzar Mohd. Zaki berkata, program ini dapat memberikan pendedahan luas kepada para pelajar tentang ilmu dan kemahiran baharu era digital khususnya dalam bidang ICT, multimedia dan kejuruteraan.

“Para pelajar akan dapat bimbingan secara hands on oleh pensyarah MMU yang akan turun padang ke sekolah kami. Ini adalah satu peluang keemasan untuk warga sekolah menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari MMU,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya