JOHOR BAHRU: Seorang peniaga barangan berjenama dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menipu jualan beg tangan berjenama mewah yang tidak wujud, tahun lalu.
Tertuduh, Christina Tseu Cheau Wei, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menipu seorang wanita berusia 53 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat transaksi kemasukan wang sebanyak RM41,288 ke dalam akaun bank miliknya bagi pembelian beg tangan jenama Hermes Mini Lindy yang tidak wujud.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 11.31 pagi di sebuah kondominium di Jalan Sri Laguna 1, Taman Laguna, di sini pada 26 Ogos 2025.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam mencadangkan kepada mahkamah satu jaminan yang tinggi berjumlah RM10,000.
Peguam mewakili tertuduh, Jason Tan Ka Yan bagaimanapun memohon jumlah minima memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai dua orang anak berusia 12 dan 17 tahun yang masih bersekolah selain menyara ibu yang menghidap kanser tahap empat.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan selain menetapkan tarikh 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.










