MELAKA: Semua peniaga kecil yang menyewa premis milik kerajaan negeri, anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan diberikan pengecualian pembayaran sewa bagi tempoh sebulan atau potongan sebanyak 30 peratus mulai bulan Julai ini.
Pengerusi Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif itu merupakan sebagai langkah meringankan beban golongan tersebut.
Menurutnya, inisiatif sewaan percuma itu melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM2.6 juta bagi tempoh sebulan yang ditanggung oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, bagi premis di bawah PBT, peniaga tidak perlu membayar sewa bagi bulan Julai manakala agensi kerajaan negeri dan anak syarikat pula akan menawarkan diskaun sehingga 30 peratus tertakluk kepada kemampuan masing-masing.
Ujarnya, keputusan itu adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kadar sewa premis milik agensi kerajaan perlu diturunkan mulai bulan ini bagi membantu golongan peniaga yang terkesan dengan situasi ekonomi hari ini.
“Langkah ini diambil bagi membantu peniaga kecil dan penjaja yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
“Kita faham kebanyakan peniaga di premis di seluruh negeri ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian, jadi bantuan ini diharap dapat memberi kelegaan,” katanya selepas menyantuni peniaga di Medan Samudera Banda Hilir di sini hari ini.
Rais berkata, kerajaan negeri turut memberikan potongan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja di bawah PBT bermula Julai hingga Disember 2026.
Jelasnya, bagi penjaja yang telah memperbaharui lesen sebelum tempoh tersebut mereka layak menikmati diskaun 50 peratus semasa pembaharuan lesen pada 2027.
Beliau berkata, buat masa ini, bantuan tersebut diberikan untuk tempoh sebulan seperti diumumkan, namun kerajaan negeri akan menilai keperluan untuk melanjutkannya bergantung kepada keadaan ekonomi semasa. – UTUSAN










