Empat dicekup proses ketum di bengkel - Utusan Malaysia

Empat dicekup proses ketum di bengkel

ANTARA air ketum dan barangan yang dirampas dalam serbuan polis di di Batu 10 Kebun Baru, Telok Panglima Garang di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kelicikan empat lelaki menjadikan bengkel mengecat motosikal di Batu 10 Kebun Baru, Telok Panglima Garang di sini, sebagai ‘port‘ memproses air ketum terbongkar apabila digempur polis semalam.

Semua suspek berusia 21 hingga 31 tahun itu dipercayai baru beroperasi selama sebulan dan turut mengedar air ketum di sekitar kawasan tersebut.

Kegiatan haram itu bagaimanapun ditumpaskan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Telok Panglima Garang yang menyerbu bengkel itu pukul 10.15 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, ketika serbuan empat lelaki tempatan itu sedang leka memproses air ketum dalam premis tersebut.

“Pemeriksaan kemudian menemukan beberapa peralatan dan perkakasan dipercayai untuk memproses daun ketum. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM770 dan harga jualan sebungkus air berkenaan iaitu RM18 setiap satu. Harga bagi botol 1.5 liter pula dijual RM25 satu kepada pelanggan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, semua suspek dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut.

“Semakan mendapati keempat-empat lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah lampau. Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan. Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun. Ia antaranya melibatkan kesalahan mengilang, membekal, menjual, memiliki atau menggunakan ketum secara haram. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya