Dua nelayan hilang dihanyutkan arus - Utusan Malaysia

Dua nelayan hilang dihanyutkan arus

PASUKAN Bomba dengan bantuan orang kampung meneruskan operasi SAR nelayan hilang di perairan Perapat Tugu Mamal, Kudat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Dua nelayan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras semasa sedang memasang pukat di perairan Perapat Tugu Mamal petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kedua-dua mangsa lelaki yang berusia 20 dan 28 tahun itu dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti memukat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.04 petang dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 50 kilometer dari balai.

ISHAK JABAS

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, dua daripada empat nelayan yang sedang memasang pukat hilang dilaporkan hilang dihanyutkan arus.

“Ketika kejadian, keadaan air surut iaitu pada paras dada atau leher jadi, keempat-empat nelayan itu turun daripada bot bagi memasang pukat di kawasan berkenaan.

“Namun, semasa sibuk memasang pukat, dua nelayan yang terselamat menyedari dua rakan mereka tiba-tiba hilang dan dipercayai dihanyutkan arus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, pasukan bomba bersama agensi lain seperti polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan bantuan orang kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

Walau bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 11 malam susulan keadaan laut yang bergelora dan cuaca gelap.

Operasi SAR bagi mencari dua mangsa itu disambung semula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN