IPOH: Dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di sini semalam, dipercayai terbenam pada kedalaman sembilan hingga 12 meter.
Difahamkan, kedalaman itu sama dengan ketinggian bangunan tiga tingkat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, setakat ini kedudukan dua mangsa bersama sebuah jengkaut yang tertimbus belum dikenal pasti namun pihaknya percaya lokasi mereka adalah berhampiran.
“Kita menjangkakan kedudukan mangsa berdasarkan gambaran saksi. Operasi hari ini diteruskan dengan menggunakan dua jengkaut bagi membuka laluan ke lokasi mangsa dipercayai tertimbus. Lebih kurang 25 meter laluan dibuka dan proses dijalankan secara perlahan-lahan kerana melihat struktur kiri dan kanan bukit sekiranya terdapat unsur bahaya,” katanya ketika ditemui di lokasi runtuhan, di sini hari ini.
Menurutnya, operasi juga menggunakan khidmat Unit Dron JBPM bagi mengesan haba mangsa dalam usaha mengenal pasti kedudukan sebenar mereka.
Katanya, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang menyertai operasi mencari mangsa juga menggunakan peralatan structure movement censor yang memberi amaran sekiranya terdapat pergerakan dari bukit berhampiran.
“Untuk hari ini, tiada laporan berkaitan pergerakan tanah. Apa yang dibimbangi sekarang adalah cuaca. Kita akan kaji laporan daripada Jabatan Meteorologi berkaitan keadaan cuaca di daerah Kinta yang memberi maklumat sama ada penugasan boleh dilakukan segera atau sebaliknya.
“Proses mencari dan menyelamat ini mungkin mengambil masa yang mana kita bergantung keadaan cuaca. Jika hujan, kita terpaksa tangguhkan operasi selain mendapat khidmat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan struktur bukit.
“Kita telah sepakat dengan polis dan JMG yang mana operasi dijalankan sehingga pukul 6 hingga 7 petang. Sekiranya diteruskan sehingga malam, ia berbahaya kepada anggota penyelamat,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi semalam, dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN










