KUALA LANGAT: Kegiatan haram Geng Kacang yang aktif melakukan pecah rumah sejak dua bulan lalu lumpuh dengan tertangkapnya dua lelaki di sekitar Telok Panglima Garang di sini, minggu lalu.
Kedua-dua suspek tempatan berusia 26 tahun hingga 46 tahun itu diberkas selepas memecah rumah seorang mangsa pada 7 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan juruteknik berusia 38 tahun memaklumkan rumahnya di Taman Jaya Utama dipecah masuk beberapa individu tidak dikenali.
Katanya, kejadian itu menyebabkan kehilangan dua rantai dan subang emas, satu loket emas dan wang tunai RM1,000.
“Bertindak atas maklumat, anggota kita berjaya menahan dua suspek di lokasi berasingan pada hari kejadian dan keesokannya. Ia membawa kepada penemuan sejumlah barangan dan wang disyaki hasil kegiatan pecah rumah dilakukan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Ridhwan, semakan mendapati dua suspek yang bekerja sebagai penganggur dan pencuci kenderaan itu memiliki rekod jenayah lampau.
“Mereka masing-masing mempunyai sembilan dan dua rekod jenayah. Geng Kacang itu aktif sejak dua bulan lalu dan polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek ditahan di Lokap Balai Polis Banting bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah. Polis turut menjalankan siasatan bagi mengesan seorang lagi suspek lelaki disyaki rakan sejenayah yang masih bebas,” katanya. – UTUSAN