Dua beradik rayu bantuan rumah

Dua beradik rayu bantuan rumah

KEADAAN rumah pusaka Jamaliah Kasim dan adiknya, Saadiah yang hanyut dibawa arus banjir pertengahan Disember tahun lalu di Kampung Mambang Berulang, Mentakab, di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Dua beradik perempuan warga emas dan masih bujang dari Kampung Mambang Berulang, Mentakab di sini menumpang berteduh di balai raya sejak awal Januari tahun ini berikutan rumah pusaka mereka dihanyutkan air bah pada pertengahan Disember tahun lalu.

Jamaliah Kasim, 71, dan adiknya, Saadiah, 69, pasrah terpaksa tinggal dan menumpang di balai raya kampung itu kerana tiada rumah lain untuk didiami.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamaliah berkata, dia dan Saadiah berterima kasih kepada ketua kampung kerana membenarkan mereka tinggal di balai raya walaupun tidak selesa. 

“Namun tinggal di balai raya ini lebih baik daripada kami perlu tidur dalam khemah.

“Kami berharap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dapat meluluskan Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Mambang Berulang di sini semalam.

Jamaliah yang hanya berpendapatan RM500 sebulan menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merayu kerajaan mempercepatkan bantuan pemilikan rumah untuk dia dan adiknya hidup lebih selesa.

Menurutnya, ekoran banjir Disember tahun lalu, rumah pusaka mereka kira-kira satu kilometer dari balai raya itu hanyut beberapa meter dari tapak asal tetapi terhalang oleh pokok kelapa sawit dari terus hanyut ke Sungai Semantan.

Sementara itu, Saadiah berkata, mereka mempunyai tanah untuk tawaran RRP tetapi lokasinya sering banjir sekali gus mencetuskan kebimbangan dia dan kakaknya pada setiap hujung tahun.

Beliau turut merayu JKM supaya menyalurkan bantuan bulanan kepadanya kerana bergantung RM500 diterima Jamaliah tidak mencukupi.-UTUSAN

Ditanya jika ada tawaran ke rumah orang-orang tua, Saadiah berkata, dia tidak rela untuk berpisah dengan kakaknya Jamaliah yang kini semakin uzur.

“Biarlah kami hidup seadanya berlapar dengan pendapatan tidak seberapa itu. Kami biasa makan nasi tidak berlauk tetapi kami puas hidup bersama, biarlah sampai akhir hayat kami,” katanya. 

Dalam pada itu, Saadiah mengakui kedudukan Kampung Mambang Berulang yang sukar dihubungi kerana berada di seberang Sungai Semantan antara faktor dia dan kakaknya ‘ketinggalan’ menikmati kehidupan berkeluarga.

“Kami reda dengan ketentuan ilahi kerana soal jodoh pertemuan adalah urusan Allah SWT. Kini harapan kami hanya untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.- UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.