Cuai punca ramai jadi mangsa ancaman siber - Utusan Malaysia

Cuai punca ramai jadi mangsa ancaman siber

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia mudah menjadi mangsa ancaman siber apabila ramai tidak peduli ketika melakukan transaksi secara dalam talian seperti memilih kata laluan `ringkas’ dan menggunakan capaian internet terbuka di premis-premis perniagaan.

Contoh kata laluan dipilih seperti nama sendiri, nombor MyKad, tarikh lahir atau nombor berurutan dan semuanya dengan alasan mudah untuk diingati.

Maklumat peribadi seseorang sangat berisiko digodam jika mereka melakukan transaksi menggunakan capaian internet terbuka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, sikap cuai mang­sa menyebabkan pihaknya merekodkan 41,639 kes ancaman siber pada 2017 hingga 2021.

Menurut beliau, semua ancaman tersebut berkaitan kan­dungan; penggodaman; pen­catatan laman web; buli siber (cyber harassment); perisian hasad (malware); panci­ngan (phishing); spam, kod berbahaya dan penipuan.
“Daripada 41,639 ancaman siber, 8,523 kes pada 2017, 11,055 kes (2018), 10,982 kes (2019), 11,386 kes (2020) dan 10,433 insiden untuk tahun lalu,” kata beliau baru-baru ini.

Tabiat

Menurut beliau, situasi tersebut akan terus berlaku jika rakyat tidak mengubah tabiat mengamalkan kaedah atau tatacara penggunaan teknologi dan internet secara beretika.

“Selain kata laluan yang lemah atau sehingga senang digodam, tidak log keluar selepas menggunakan aplikasi dan memastikan rangkaian perbankan digunakan selamat dan tepat menyebabkan mangsa berisiko,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mendapati tahap celik siber rakyat juga masih lemah walaupun penggunaan teknologi, internet dan media sosial ketika ini tanpa batasan.

“Bukti ancaman siber boleh dilihat menerusi kerugian mencecah berbilion ringgit seperti dicatatkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Amirudin memberitahu, ancaman siber tersebut turut memberi implikasi kepada mangsa, keluarga, komuniti dan negara.

“Antara kalangan pengguna mengalami gangguan psikologi hingga menjejaskan gaya hidup, kerja, kewangan atau hubungan sosial.

“Justeru, pengguna digital perlu diberi pendedahan melalui program-program pen­didikan dan kesedaran kese­lamatan siber dari semasa ke semasa.

Internet

Mengulas lanjut, Amirudin memberitahu, pendedahan kepada kandungan internet yang tidak sesuai juga mempengaruhi warga digital, khususnya anak-anak dan remaja untuk terlibat dengan gejala negatif seperti perlakuan ganas, kemerosotan moral dan nilai murni.

“Kesan jangka panjang membawa kepada ketagihan internet selain kawalan ibu bapa yang kurang efektif menyebabkan peningkatan risiko keselamatan siber terhadap generasi muda,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, orang ramai perlu melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan siber sekurang-kurangnya memahami perkara asas antaranya kaedah membina kata laluan yang kukuh, memasang perisian antivirus pada gajet digital dan mengemaskini secara berkala dan log keluar daripada e-mel, media sosial dan bukan sekadar menutup pelayar web setiap kali selesai digunakan.

Orang ramai juga diingatkan untuk tidak klik pada pautan atau lampiran (imej dan video) dalam e-mel serta laman media sosial dan memastikan menggunakan rangkaian yang selamat apabila melakukan transaksi dalam talian (perbankan atau pembelian internet).

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sebanyak 81,079 kes rakyat Malaysia terlibat dalam peni­puan siber membabitkan kerugian RM1.52 bilion dalam tempoh empat tahun sejak 2018.

Penipuan telekomunikasi termasuk Macau Scam menca­tat bilangan paling tinggi iaitu 23,161 kes membabitkan nilai kerugian RM986.9 juta. Diikuti pelaburan RM827.6 juta membabitkan 6,894 kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×