Covid-19: Tiada keperluan mengubah tempoh isolasi berdasarkan CT Value

Covid-19: Tiada keperluan mengubah tempoh isolasi berdasarkan CT Value

DR HELMY HAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tiada keperluan penggunaan nilai kitaran ambang (CT value) dijadikan sebagai panduan terhadap tempoh isolasi, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Helmy Hazmi.

Katanya, jika digunakan sebagai panduan tempoh isolasi kepada kes positif dan kontak rapat, ia akan menambah lebih kekeliruan kepada pengurusan kes Covid-19 yang berbeza.

“Fungsi nilai Ct tidak boleh dinilai dengan mudah sebegitu. Pertamanya, hanya ujian PCR yang boleh memberikan nilai Ct yang tepat.

“Sebagaimana yang kita ketahui, ujian calitan Polymerase Chain Reaction (PCR) juga tidak murah dan keputusan ujian tersebut juga mengambil masa, lebih-lebih lagi apabila kemuncak jangkitan wabak ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam memberi pendapatnya sebagai pakar kesihatan, susulan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mencadangkan tempoh isolasi bagi kes positif Covid-19 dan kontak rapat dinilai semula mengikut nilai kitaran ambang (CT value).

Ujarnya Dr Helmy lagi, nilai Ct juga bukanlah satu nilai yang mutlak dan ketepatannya bergantung kepada banyak faktor yang mempengaruhi satu ujian yang dijalankan dimakmal.

“Mereka yang dijangkiti berkemungkinan boleh mendapat dua nilai Ct yang berlainan walaupun sampel diambil dari orang yang sama pada masa yang sama.

“Faktor-faktor yang mempengaruhi nilai Ct termasuk cara pengambilan sampel, ada pencalit yang mengambil sampel dari hidung sahaja dan ada juga yang mengambil sampel dari kedua-dua hidung dan tekak,” tambahnya.

Selain itu kata Dr Helmy, alatan yang digunakan untuk mencalit dan memproses spesimen, bahan kimia atau reagen yang digunakan dan teknik pengekstrakan turut mempengaruhi.

“Algoritma yang digunakan boleh berbeza-beza dari makmal ke makmal.

“Tahap kesihatan semasa individu dan status vaksin boleh mempengaruhi bacaan nilai Ct,” katanya.

Walaupun nilai Ct memberi panduan kepada beban virus seseorang. Namun, kita tidak dapat pastikan secara tepat fasa jangkitan tersebut – adakah ia baru bermula ataupun sudah berada di pengakhiran.

“Oleh itu, seseorang dengan nilai Ct yang tinggi (beban virus rendah) masih boleh menjangkiti orang lain.

“Kebolehjangkitan dipengaruhi oleh dos jangkitan yang berbeza-beza di antara individu, bukan semata-mata pada nilai Ct.

Justeru, dari perspektif kesihatan awam, ujian PCR adalah lebih baik sebagai ujian kualitatif – yang menilai sekiranya seseorang itu positif atau negatif.

“Ini penting dalam situasi wabak, di mana keputusan segera diperlukan untuk mengurus sesuatu kes atau kontak rapat,” kata beliau.

Nilai Ct dilaporkan dalam bentuk nombor atau kuantitatif. Oleh itu, ia mempunyai nilai akademik. Ia perlu dibaca bersama-sama dengan nilai klinikal yang lain dan keadaan pesakit untuk melihat tindak balas kepada rawatan yang diberikan.

Maka, tiada keperluan untuk mengubah tempoh isolasi berdasarkan nilai Ct.

Isolasi dan kuarantin perlu berdasarkan kepada tempoh pengeraman, masa tempoh kebolehjangkitan dan keperluan untuk pemulihan sosio-ekonomi negara dengan selamat, tegasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN