TEMERLOH: Seorang warga emas mangsa kejadian kebakaran membabitkan tiga buah rumah separuh kekaldi Taman Lee Chan, Mentakab di sini, cedera di belakang dan bahu ketika bergegas keluar dari rumahnya bagi menyelamatkan diri.
Warga emas itu, Pon Nyap Suan, 67, cedera akibat terlanggar pintu rumahnya.
“Semua barang tidak sempat diambil termasuk dokumen penting seperti passport isteri,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Lee Chan di sini.
Seorang lagi mangsa kebakaran, Ling Thee, 86, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di ruang tamu.
Jelasnya, dia hanya tersedar kebakaran berlaku apabila anak perempuannya yang tinggal di hadapan rumahnya menjerit memaklumkan kejadian tersebut.
“Saya sempat mencapai beberapa dokumen penting dalam satu bekas manakala semua peralatan termasuk pakaian habis terbakar.
“Ketika ini, saya tinggal menumpang di rumah anak perempuan yang tinggal di taman yang sama,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang semalam itu, tiga buah rumah separuh kekal musnah 100 peratus manakala sebuah lagi musnah kira-kira 50 peratus.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika melawat lokasi kejadian berkata, kerajaan negeri memberikan sumbangan RM5,000 kepada mangsa.
Menurutnya, kerajaan negeri peka dengan kesulitan rakyat terutama membabitkan bencana alam dan kebakaran. – UTUSAN