CAP bimbang keadaan jalan di Balik Pulau 

CAP bimbang keadaan jalan di Balik Pulau 

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang dengan keadaan jalan dari Pulau Betong ke Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau, dekat sini yang tidak diselenggara dengan baik. 

Tinjauan yang dibuat CAP mendapati, jalan sepanjang kira-kira dua kilometer itu bukan sahaja dipenuhi daun kering di bahagian kiri dan kanan, malah penghadang jalan tersebut juga telah roboh sekali gus boleh menjejaskan keselamatan pengguna. 

Sehubungan itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut demi keselesaan serta keselamatan para pengguna jalan berkenaan. 

“CAP percaya jika keadaan jalan tersebut tidak diambil tindakan segera boleh mengundang perkara yang tidak diingini. Di samping masalah hakisan, kejadian tanah runtuh juga mungkin berulang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohideen, tinjauan CAP juga mendapati saliran yang terdapat di kawasan berkenaan dipenuhi semak-samun, cetek dan sempit manakala di bukit berhampiran terdapat beberapa lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku sebelum ini. 

“Masalah ini boleh menyebabkan air melimpah dan bertakung di atas jalan ketika hujan serta membahayakan keselamatan mereka yang melalui jalan berkenaan,” katanya. 

Tambah beliau, CAP memandang serius masalah berkenaan bukan sahaja  kerana keindahan alam semula jadi tempat itu, tetapi  kawasan tersebut juga menjadi tumpuan orang ramai beriadah dan laluan utama ke Kem Wawasan Negara. 

“CAP meminta sistem pembuangan sampah di kawasan berkenaan diurus dengan baik agar tidak mencemarkan kawasan berkenaan. Kita mendapati sisa buangan oleh para pengunjung berselerak di sekitar tong sampah yang disediakan di tepi jalan menyebabkan keadaan di situ kelihatan kotor,” katanya. – UTUSAN

CAP menggesa MBPP dan JKR menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah jalan dari Pulau Betong ke Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau, Pulau Pinang yang tidak diselenggara dengan baik termasuk dipenuhi sampah-sarap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN