Calon Melayu pelan jangka panjang DAP

Calon Melayu pelan jangka panjang DAP

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tujuan DAP mengetengahkan calon-calon Melayu terutama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah perancangan jangka panjang untuk mengubah persepsi terhadap parti itu sebagai perkauman.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong berkata, DAP bukanlah parti berteraskan Cina sebaliknya mewakili semua kaum termasuk Melayu dan India.

Malah, tegas Pengerusi DAP Johor itu, penampilan calon Melayu dari DAP bukan untuk mengejar jawatan menteri besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi DAP sebenarnya kami berharap (letak calon Melayu) jadi jangka panjang. Memang ada objektif jangka pendek iaitu untuk memenangi kerusi tetapi ada objektif jangka panjang iaitu mewujudkan satu parti yang mana kita tidak lagi berasaskan perkauman.

“Idea kami pada satu hari nanti adalah tidak akan ada isu perkauman sebaliknya membicarakan isu dasar.

“Tidak kira pemimpin apa bangsa dalam DAP, rakyat akan terima kami mewakili nilai-nilai yang rakyat suka dan terima serta dasar-dasar yang diperjuangkan kita diterima mereka, tidak berasaskan kaum,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada PRN Johor, DAP meletakkan dua calon Melayu iaitu Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali di DUN Paloh manakala Skudai diwakili Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim.

Chin Tong berkata, meskipun dimomokkan sebagai parti Cina namun DAP meletakkan calon Melayu di kerusi ditandingi berbanding MCA hanya mempertaruh calon dari kaum itu.

“Untuk kami dan parti politik mara perlunya change the rule of game (ubah rentak permainan) iaitu tidak boleh lagi berasaskan kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, PRN Johor hanyalah gelanggang `hidup atau mati’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi Bersatu dan PN, ini adalah hidup dan mati mereka. (Tetapi) saya tidak jangka DAP dapat kosong sebab keadaan sini (Johor) dengan negeri lain agak lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×