MELAKA: Linangan air mata menitis dari kelopak mata pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 68, bagaikan babak sedih dalam sebuah drama, sewaktu menceritakan keperitan hidup sepanjang tempoh 50 tahun mengharungi pelbagai dugaan bergelar anak seni.
Menurut pelakon serba boleh itu, beliau sering menjadi mangsa penipuan syarikat produksi yang mengambilnya berlakon.
“Saya kerap ditipu oleh pihak produser apabila janji berlakon dengan sejumlah bayaran tertentu, apabila selesai penggambaran. Satu sen duit yang dijanjikan saya tak terima.
“Bukan sekali dua tetapi sudah banyak kali. Tapi apa nak kata ini sudah nasib saya. Jujur pun kena tipu.
“Ramai orang ingat saya jadi pelakon banyak duit. Orang tak tahu kita penat bekerja tapi tak dibayar. Inilah kehidupan realiti sebagai anak seni,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Seniman peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.
Program anjuran Jabatan Penerangan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sam dan Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.
Mengulas lanjut, Wan Maimunah yang mesra dipanggil ibu memberitahu, kebanyakan anak seni memendam rasa dan makan hati kerana sering tidak mendapat bayaran dijanjikan.
“Sebab itu akhir-akhir ini, ibu banyak menolak tawaran berlakon sebab tak tahu nak kata apa. Ibu merayu kepada produser, turunlah padang tengok-tengoklah berapa yang dibayar.
“Sebenarnya, bukan produser yang tak bayar, tapi, pengurus produksi yang tak bayar. Bila kita telefon tak berjawab, kita mesej tak balas. Tapi tak apalah rezeki Allah bagi, insya-Allah ada rezeki lain,” katanya. – UTUSAN










