Buka sempadan: Umpama pengumuman hari raya

Buka sempadan: Umpama pengumuman hari raya

Semua kelas kenderaan awam boleh rentas sempadan Singapura-Malaysia menjelang 1 April ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk bandar raya ini khususnya golongan peniaga menarik nafas lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan antarabangsa Malaysia bakal dibuka kembali pada 1 April ini.

Menurut mereka, pengumuman itu ditunggu-tunggu komuniti peniaga apatah lagi perniagaan mereka terkesan teruk akibat penutupan sempadan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

MUHAMMAD ZAKI SUPAID

Seorang peniaga, Muhammad Zaki Supaid, 39, berkata, berita itu bagaikan pengumuman perayaan apabila ia menandakan pelancong asing dapat kembali mengunjungi negara ini dengan terbuka.

Katanya, perniagaan cenderamata dan kraf yang diusahakannya di Pasir Gudang, di sini umpama pepatah hidup segan mati tidak mahu dalam tempoh dua tahun ini.

“Sejak penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik Covid-19 dua tahun lalu, golongan peniaga antara terjejas, apatah lagi saya yang menjalankan perniagaan menjual kraftangan dan cenderahati.

“Ketiadaan pengunjung khususnya pelancong luar memang menjejaskan perniagaan saya yang mana dalam tempoh dua tahun ini, kami hanya bertahan dengan menggunakan duit simpanan,” katanya, di sini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan Malaysia bakal membuka sempadan negara bermula 1 April ini selepas mengenakan sekatan keluar masuk antara negara sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.

Seorang lagi peniaga, Khalidah A. Wahab, meluahkan kesyukuran atas keputusan berkenaan yang dilihat langkah positif dalam membolehkan golongan peniaga meneruskan perniagaan mereka.

“Kami sudah bertahan dalam tempoh dua tahun ini dan setelah pengumuman pembukaan sempadan antarabangsa dibuat, kami berharap ia menyaksikan kemasukan ramai pelancong kembali ke negara ini.

“Selain itu, sebagai penduduk Johor Bahru, kami juga berharap Kerajaan Singapura dapat mengambil langkah serupa bagi membolehkannya pergerakan antara kedua-dua negara,” jelasnya yang mempunyai kedai serbaneka di Johor Bahru dan turut mempunyai saudara mara di republik Singapura.

NOR AKMAL MUHAMMAD

Bagi Nor Akmal Muhammad, 32, yang mempunyai perniagaan kafe pula, pengumuman itu umpama satu suntikan moral buat pihaknya untuk terus mengembangkan perniagaan kedai makan sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN