Lafaz syahadah dalam tahanan Israel, kapten Itali akui rasa seperti 'dilahirkan semula' - Utusan Malaysia

Lafaz syahadah dalam tahanan Israel, kapten Itali akui rasa seperti ‘dilahirkan semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Di sebalik jeriji besi dan tekanan mental dalam tahanan tentera Israel, seorang aktivis Itali, Tommaso Bortolazzi menemui cahaya yang mengubah seluruh hidupnya iaitu hidayah Islam.

Bortolazzi, kapten kapal Maria Cristina yang menjadi sebahagian daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, mengucapkan dua kalimah syahadah ketika ditahan bersama rakan-rakan aktivis dari pelbagai negara.

Dalam temu bual selepas tiba di Istanbul, Turkiye, beliau mendedahkan detik mengharukan yang mencetuskan keputusannya memeluk Islam.

Menurutnya, dia amat tersentuh apabila melihat tentera Israel mengganggu rakan-rakannya yang bersolat di dalam sel tahanan.

“Ketika mereka solat, polis pasukan pendudukan Israel masuk dan menghalang mereka. Saya merasakan keperluan untuk menentang perbuatan tersebut, dan selepas itu… saya mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya.

Bortolazzi ditahan bersama lapan aktivis Muslim dari Turkiye dan Malaysia.

Katanya, pengalaman bersama mereka, membuka hati dan fikirannya terhadap Islam.

“Saya memilih ini (memeluk Islam) dan saya sangat gembira. Saya rasa seperti bayi yang baru dilahirkan semula,” katanya penuh emosi.

Bortolazzi kini bukan sekadar dikenali sebagai kapten kapal kemanusiaan, tetapi juga sebagai simbol perubahan jiwa dan keberanian moral dalam memperjuangkan keadilan di bumi Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN