JOHOR BAHRU: Polis Johor mengenal pasti 41 hotspot tumpuan pelancong yang akan diberikan tumpuan susulan pembukaan sempadan antarabangsa bermula Jumaat ini dengan separuh daripadanya berada di bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antara kawasan yang dikenal pasti seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bazar Karat Johor Bahru, Larkin Sentral, Johor Bahru Sentral serta beberapa pusat beli-belah dan pasar raya yang kerap dikunjungi.
“Tumpuan juga diberikan di kawasan hotspot di daerah lain seperti di Kota Tinggi yang merupakan tempat peranginan manakala di Kluang yang mempunyai tempat rekreasi di hutan serta jeti di Mersing.
“Ini termasuk di Muar dan Tangkak yang menjadi tempat tumpuan untuk membeli kain dan pakaian. Kita akan tempatkan pegawai dan anggota kita di lokasi-lokasi berkenaan,” katanya selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor 2022 di sini hari ini.
Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor 2022 itu melibatkan 348 penerima iaitu 165 pegawai kanan polis dan pangkat rendah manakala 183 pesara polis.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman memberitahu, kira-kira 1,600 anggota dan pegawai sudah bersedia untuk ditempatkan di lokasi tumpuan.
Katanya, bagi minggu pertama, penugasan diutamakan di pintu masuk sempadan Johor-Singapura iaitu di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dekat sini.
“Di BSI, seramai 200 anggota polis ditugaskan di pintu masuk antarabangsa itu membabitkan tiga syif yang turut dibantu oleh 113 polis bantuan di kawasan tersebut.
“Semalam, kita berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas melaksanakan latihan pembukaan (dry-run) di BSI. Jadi, saya rasa perjalanan pembukaan sempadan Johor-Singapura Singapura akan lancar,” ujarnya. – UTUSAN