KUALA LUMPUR: Malaysia akan membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara ini bermula 1 April selepas mengenakan larangan kemasukan sejak Mac 2020 bagi menangani pandemik Covid-19.
Pembukaan sempadan yang menyaksikan negara kerugian lebih RM80 bilion kepada sektor pelancongan diharap dapat membantu merancakkan pertumbuhan beberapa sektor lain yang bergantung kepada wang pelancong asing.
Malaysia juga menjadi negara terbaharu di rantau ASEAN yang membuka pintu sempadan selepas beberapa jirannya mengambil langkah sama termasuk Indonesia yang mula menerima kemasukan pelancong asing di Bali.
Kerajaan juga melonggarkan beberapa lagi syarat termasuk tempoh pembukaan perniagaan dan tiada penjarakan untuk saf solat ketika negara menuju ke peringkat endemik Covid-19 yang telah meragut lebih 30 ribu nyawa dan 3.6 juta pesakit. Rakyat Malaysia juga bebas untuk keluar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan dasar baru itu menegaskan keputusan membuka pintu sempadan negara itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas utama iaitu berpandukan sains dan fakta Covid-19, membanding keperluan pembukaan pintu sempadan dan keselesaan kepada pengembara.
Pintu sempadan
Ismail Sabri berkata, dengan pembukaan pintu sempadan negara itu, Malaysia kini terbuka untuk menerima semua pelancong dan pengembara yang mempunyai dokumen lengkap.
“Keputusan ini juga membolehkan rakyat Malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk Malaysia seperti biasa dan dibenarkan ke mana-mana negara yang telah membuka pintu sempadan mereka.
“Sama juga rakyat luar negara, mereka boleh keluar masuk Malaysia tanpa perlu memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan,” kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam.
Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan ini akan membantu ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, beberapa prosedur masih wajib dipatuhi ketika pelancong memasuki Malaysia berikutan kebimbangan mengenai penularan varian Omicron.
“Bagi yang menerima vaksin lengkap dua dos, tiada keperluan untuk jalani tempoh kuarantin dan hanya perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19 dua hari sebelum berlepas dan RTK Antigen dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
Katanya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pengembara yang tidak menerima menerima vaksin. – UTUSAN










