PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah berada dalam siap siaga khususnya menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya bersedia jika diperlukan bagi program sanitasi awam khususnya di lapangan terbang, pesawat penumpang dan lokasi tumpuan awam.
Beliau berkata, sempena pembukaan sempadan kelak, pihaknya menjangkakan lokasi tumpuan awam termasuk kawasan rekreasi air dan destinasi pelancongan lain bakal dikunjungi pelancong asing.
“Kami bersedia khususnya dari aspek kawalan keselamatan di air dan keselamatan kebakaran di kawasan tumpuan pelancong.
“Apabila sempadan negara di buka kelak, kami jangka lebih banyak panggilan kecemasan akan diterima melebihi 146,000 panggilan direkodkan tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Pasukan Khas dan Majlis Pentaulihan Subject Matter Expert (SME), di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini, pihaknya belum berhasrat membekukan cuti pegawai dan anggotanya kecuali apabila berdepan situasi dan musim kebakaran hutan yang dijangka pertengahan bulan ini akibat cuaca panas.
Selain itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya akan menghantar empat pegawainya masing-masing ke Jepun dan Amerika Syarikat bermula April ini bagi menyertai kursus taktikal kebombaan dan keselamatan bangunan.
“Mereka sepatutnya berlepas dua tahun lalu, namun,l ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 dan sempadan negara ditutup,” katanya.
Terdahulu, seramai 79 pegawai dan anggota bomba daripada lima pasukan khas menerima tauliah masing-masing sempena konvensyen itu.
Pasukan khas berkenaan termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), Unit Bermotor Bomba (RIM) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Pada konvensyen itu, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan merangkumi ucaptama, kertas strategik dan taktikal serta 17 kertas kerja akademik disampaikan oleh pakar-pakar berkaitan. – UTUSAN