PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merekodkan kenaikan jumlah pembiayaan segmen pelanggan dalam kalangan guru dan pensyarah lebih lapan peratus atau RM491 juta, manakala pelanggan kakitangan kerajaan, GLC dan swasta terpilih meningkat 7.3 peratus atau kira-kira RM1.28 bilion.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcit BIMB, Mizan Masram berkata, peningkatan itu hasil penganjuran kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021.
Kata beliau, bank sentiasa berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan lengkap yang inovatif dan relevan kepada para pelanggan.
“Syukur alhamdulillah, Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan dan menunjukkan pertumbuhan jumlah pembiayaan yang signifikan kepada BIMB.
“Dengan penganjuran kempen ini, kami terus menyediakan kemudahan kewangan dan perbankan yang lengkap dan khusus untuk menyokong kesejahteraan hidup
pelanggan, terutamanya dalam landskap yang mencabar. Pada masa sama, ia juga merupakan tanda penghargaan kami atas sokongan dan keyakinan para pelanggan terhadap BIMB,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BIMB, penganjuran Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 bertujuan untuk memperluaskan lagi portfolio pembiayaan peribadi bank serta mempertingkatkan kesedaran umum terhadap penyelesaian perbankan lengkap BIMB yang turut merangkumi produk seperti deposit, pengurusan kekayaan, takaful dan kad Bank Islam.
Baru-baru ini, BIMB telah meraikan 15 pelanggan terpilih yang memenangi Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 pada satu majlis di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
Seramai 10 kumpulan pemenang Kempen Hari Guru 2021 telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 setiap kumpulan, manakala 5 pemenang Kempen Win Big 2021 membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 seorang.
Jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang diserahkan kepada para pemenang kedua-dua kempen tersebut adalah sebanyak RM250,000. – UTUSAN










