Beri pengguna Air Kelantan terjejas diskaun 50 peratus

Beri pengguna Air Kelantan terjejas diskaun 50 peratus

MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSAB) disaran memberi diskaun sehingga 50 peratus kepada pengguna yang terjejas akibat sering berdepan gangguan perkhidmatan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, di kawasan Galas terutama di Bandar Utama dan Kampung Sungai Terah, kira-kira 3,000 akaun mengalami gangguan bekalan air sejak lebih setahun lalu.

Kata beliau, itu tidak termasuk puluhan ribu lagi akaun yang turut terjejas di kawasan lain di seluruh negeri.

“Oleh itu saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan ini demi meringankan beban masalah yang dihadapi rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhenti rehat, di sini hari ini.

Terdahulu ketika sesi perbahasaan Titah Diraja pada persidangan DUN Kelantan, Mohd. Syahbuddin mengemukakan cadangan tersebut selepas mengambil kira kesusahan dihadapi rakyat kerana perkhidmatan air yang kerap terganggu.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahbuddin berkata, selain terputus bekalan sehingga terpaksa menadah air hujan, antara isu berkaitan AKSB kerap diadukan penduduk ialah terpaksa membayar bil ‘angin’.

“Apabila buka paip, hanya angin sahaja yang keluar namun bulan-bulan bil air tetap sampai dan mereka tetap kena bayar bil tersebut walaupun tidak dapat menikmati bekalan air sebagaimana sepatutnya.

“AKSB menjadikan pembinaan Loji Rawatan Air di Bukit Cupak, Gua Musang belum siap sebagai alasan. Kalau begitu, diskaun bil air perlu sebagai tanda keadilan di sebuah negeri berkebajikan,” katanya.

Mohd. Syahbuddin dalam pada itu menambah, adalah tidak wajar sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan menerima ‘musibah’ dan kecaman akibat kegagalan AKSB membekalkan air kepada penduduk.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya