Berbasikal lihat keindahan Kampung Seberang Ramai

Berbasikal lihat keindahan Kampung Seberang Ramai

PARA peserta program explorace berbasikal TNB 2020 bergambar kenangan bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, baru-baru ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suasana di perkampungan Seberang Ramai, Kuala Perlis, dekat sini, baru-baru ini meriah dengan pengamal media dan ketua-ketua jabatan negeri ini menerusi pertandingan Explorace Berbasikal Tenaga Nasional Bhd. (TNB) 2022.

Aktiviti anjuran TNB itu turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan melepaskan kira-kira 70 peserta pertandingan tersebut.

Ketua Perkhidmatan Pengguna TNB Perlis, Azian Alias berkata, idea asal penganjuran di sekitar perkampungan nelayan Seberang Ramai itu adalah hasil cetusan Tuanku Syed Faizuddin.

Katanya, tujuan utama aktiviti tersebut adalah bagi memperkenal perkampungan nelayan yang ditransformasikan menerusi pelaksanaan Projek Diraja Program Tranformasi Kampung Seberang Ramai.

“Melalui pertandingan Explorace TNB kali ini, ketua-ketua jabatan terutama mereka yang baru datang ke negeri ini dapat membuka mata melihat sendiri keindahan serta keunikan kawasan perkampungan nelayan itu.

“Pertandingan tersebut juga memberi peluang kepada ketua kampung serta komuniti setempat menjana pendapatan dengan pelbagai aktiviti perniagaan di setiap check-point tersebut,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai penganjur, mereka menyediakan hadiah pertandingan dengan membeli kuih-muih dihasilkan penduduk kampung sekali gus membantu mempromosikan produk kampung tersebut.

“Para peserta perlu mengayuh basikal melalui kawasan perkampungan tersebut ke check point ditetapkan dan perlu menjawab soalan serta melaksanakan setiap tugasan diberikan.

“Pelbagai bentuk soalan diberikan seperti teka-teki, sejarah, pengetahuan am selain pemerhatian setempat. Tugasan pula memerlukan para peserta menghasilkan kraftangan, melukis mural, permainan tradisional dan banyak lagi sebelum beralih ke check point lain.

“Walaupun peserta mampu menjawab dan melaksanakan tugasan dengan cepat namun ia belum tentu membolehkan mereka menang kerana kerjasama berpasukan dan penglibatan bersama semua ahli kumpulan turut menyumbang kepada markah,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN