KUALA LUMPUR: Penamaan calon Perdana Menteri bukanlah keutamaan ketika ini sebaliknya parti-parti politik perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi serta membina muafakat yang benar-benar kukuh dan berwibawa.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, realiti politik negara kini tidak memungkinkan mana-mana parti bergerak secara bersendirian kerana setiap gabungan memerlukan sokongan dan kerjasama antara satu sama lain.
“Justeru tinggalkan dahulu agenda menamakan siapa bakal Perdana Menteri. Tugas itu biarlah ditentukan oleh gabungan dan muafakat apabila tiba masanya, bukan dilakukan secara unilateral. Harus ada syura rentas parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan itu menyusul selepas Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam sebulat suara mencalonkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11.
Annuar berkata, semua pihak perlu sedar kuasa melantik Perdana Menteri adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong yang akan memilih seorang Ahli Parlimen yang diyakini mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Rakyat mahukan seorang pemimpin yang benar-benar membawa harapan baharu, segar dan bebas daripada retorik. Mereka sudah bosan dengan janji yang tidak ditunaikan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, adalah lebih penting bagi parti politik menyucikan imej dengan memperbetulkan dasar, memulihkan kepercayaan rakyat serta mempersiapkan barisan pimpinan pelapis yang berintegriti dan berkeupayaan membawa negara ke tahap lebih baik.
“Pilihlah jalan damai, bangunkan negara yang berkebajikan untuk rakyat, jauhi kleptokrat dan pimpinan yang tidak berintegriti. Pemimpin yang bersih, beriman, bertakwa serta berkeupayaan akan membawa rahmat dan keberkatan.
“Usah ditumpukan kepada dendam politik, sebaliknya utamakan khidmat dan pembelaan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN








