PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mendapatkan persetujuan parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN), biarpun telah diumumkan sebagai calon Perdana Menteri ke-11 oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, walaupun Muhyiddin berjaya melepasi halangan pertama dengan sokongan sebulat suara perwakilan Bersatu, perjalanan politiknya masih panjang dan penuh ujian.
“Melepasi halangan pertama, kini dia berdepan halangan kedua. Apakah Pas akan setuju? Urimal Ramasamy sudah setuju. Sudah pasti Hindraf, Gerakan dan MIPP juga akan setuju,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu semalam yang menamakan Muhyiddin sebagai calon PM ke-11.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mengumumkan keputusan itu dicapai secara sebulat suara.
Dalam pada itu, Mohd. Puad turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin meskipun wujud desakan dalaman agar beliau berundur.
“Setinggi tahniah Tan Sri Muhyiddin kerana terpilih calon PM ke-11 oleh parti Bersatu. Di sebalik kekecohan desakan ‘Turun Tan Sri’ untuk halang namanya dipilih, beliau tetap dinobatkan oleh perwakilan. Gagallah konspirasi 120 Ketua Bahagian Bersatu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan sama ada Muhyiddin mampu mengulangi sejarah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dua kali menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Halangan ketiga ialah, bolehkah beliau pecah rekod Tun M yang dua kali jadi PM. Signal dari dalam yang tidak yakin cukup kuat iaitu jeritan ‘Turun Tan Sri’ dan tandatangan 120 Ketua Bahagian. Baggage ‘Dana Wibawa’ juga satu halangan. Umum poster boy bukan lagi taktikal yang relevan,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegur Bersatu supaya tidak terlalu ‘ghairah bersendirian’ membuat keputusan politik penting termasuk berkaitan calon Perdana Menteri atas nama PN tanpa konsensus bersama.
Muhyiddin pernah menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri kelapan bermula 1 Mac 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19. – UTUSAN








