IPOH: Pelbagai bencana alam yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim terhadap alam sekitar, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan, jangan dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar.
Titah baginda, ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 41, Surah Ar-Rum bermaksud: “Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar”.
Titah Sultan Nazrin, dunia kini semakin menghadapi pelbagai bencana mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.
“Pelbagai bencana alam yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim, sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, kecanggihan teknologi semata-mata tidak mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.
Titah baginda, pembangunan negara harus mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar.
Baginda bertitah, rohani dan sahsiah hendaklah dimantapkan untuk menyemai kesedaran agar manusia berbaik-baik dengan alam sekitar dan agar berlaku keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam.
“Kerajaan beta memandang serius isu kelangsungan populasi Harimau Malaya atau Panthera tigris jacksoni. Berdasarkan kajian, kawasan hutan simpan di Negeri Perak merupakan habitat penting Harimau Malaya.
“Hasil kajian mendapati kini hanya berbaki 37 ekor Harimau Malaya, 30 ekor harimau dewasa dan tujuh ekor anak harimau yang masih berkeliaran di hutan simpan negeri. Angka ini sangat rendah berbanding keluasan kawasan habitat yang boleh menampung sekitar dua ratus ekor harimau.
“Dalam usaha menyokong pengukuhan habitat Harimau Malaya, kerajaan beta telah mewartakan kawasan seluas hampir 19,000 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Amanjaya,” titah baginda. – UTUSAN