Helaian demi helaian tali yang disulam dengan penuh kesabaran, seolah-olah menjadi saksi perjalanan hidup sebagai wanita.
Macrame bukan sekadar teknik anyaman yang mengingatkan kita pada langsir rotan di rumah nenek atau tas tangan bohemian yang penuh kenangan, tetapi menjadi lambang keanggunan dan kreativiti di pentas fesyen global.
Lihat sahaja Iris van Herpen yang memukau penonton dalam koleksi Sensory Seas atau Grace Wales Bonner yang menggabungkan macrame dengan material lain pada musim luruh 2025.
Mereka membuktikan teknik tradisional ini boleh menjadi sesuatu yang menakjubkan dan penuh makna.
Di Malaysia, kita ada Juwita Rahmat, pereka muda yang baharu menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Koleksi debutnya menonjolkan penggunaan macrame dengan begitu halus dan bijak, sekali gus menjadikannya relevan serta mempesona.
Saya jatuh cinta pada setiap simpulan yang dihasilkan Juwita, seolah-olah setiap helaian benang membawa cerita tentang keberanian dan keyakinan diri.
Koleksi ini diinspirasikan daripada struktur rangka manusia. Mungkin kedengaran aneh, tetapi baginya, ia adalah simbol kekuatan dan keseimbangan yang sering dilupakan.
Setiap simpulan macrame dibuat dengan teliti seperti tulang belakang yang menyokong tubuh. Kukuh, tetapi lembut.
Sesiapa sahaja pasti terpukau dengan tekstur tiga dimensi anyaman ini yang memberi kesan dramatik, namun elegan.
Bukan itu sahaja, Juwita memilih fabrik cotton drill yang tebal dan tahan lama untuk memastikan struktur rekaan kekal mantap.
Benang DMC Nova Vita 12 yang diperbuat daripada kapas kitar semula ditempah khas dari luar negara untuk anyaman macrame, kerana jarang dijumpai di sini.

Warna krim pula menjadi kanvas sempurna untuk menyerlahkan tekstur dan keanggunan bentuk anatomi tulang, tanpa gangguan warna lain. Sederhana, tetapi memikat.
Lebih menarik, koleksi ini juga memaparkan kisah peribadi Juwita. Dahulunya, dia bercita-cita menjadi doktor sebelum memilih dunia fesyen.
Kini, setiap helaian adalah gabungan sains dan seni, sekali gus membuktikan yang fesyen bukan sekadar dilihat, tetapi tentang rasa.
Setiap simpulan dan anyaman adalah lambang bagaimana seseorang memeluk keunikan diri dan berani menjadi lain daripada lain. Bagi wanita yang ingin menggayakan macrame, berikut adalah beberapa tip yang disarankan.
Untuk yang bertubuh petite, pilih busana macrame dengan corak halus dan potongan ringkas. Tambahkan sedikit aksesori minimalis untuk memberikan keseimbangan.
Pemilik bentuk badan curvy, cari busana anyaman macrame yang menonjolkan bentuk pinggang. Pilih warna-warna solid supaya tekstur macrame menjadi highlight yang cantik dan memeluk lekuk badan anda.
Buat si tinggi lampai, pilih anyaman macrame dramatik dan tebal, terutama di bahagian bahu atau pinggul untuk memberi ilusi bentuk badan seimbang.
Koleksi ini jelas untuk mereka yang berani. Sama ada di pentas fesyen, editorial majalah atau di pameran seni, karya Juwita ini adalah satu manifestasi keanggunan dan keberanian.










